Pages

Sunday, September 12, 2010

Tolak ansur dapat elak rasa tidak puas hati

BEREBUT, bertelingkah dan tidak sepakat untuk membuat keputusan balik ke kampung memang menjadi asam garam pasangan berumah tangga terutama mereka yang baru mendirikan mahligai bahagia.




Malah, apabila tiba musim perayaan, masalah semakin ketara dan masing-masing beranggapan keputusan sendiri lebih bermakna berbanding pihak satu lagi.



Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Prof Dr Suradi Salim, berkata sepatutnya pasangan cuba untuk bertolak ansur dalam mencapai kata sepakat.





Perbincangan yang dibuat perlu secara menyeluruh dan bukannya dibuat dalam masa singkat hingga mengakibatkan ada pihak tidak berpuas hati dengan keputusan yang diambil itu.





"Jangan esok hendak balik kampung, hari ini baru hendak berbincang kerana setiap keputusan yang diambil memerlukan pandangan pihak kedua, dalam kes ini sudah pastinya pasangan anda.





"Ia bagi mengelakkan sebarang perasaan tidak puas hati yang terpendam dalam diri pasangan masing-masing akibat keputusan tanpa perbincangan awal," katanya.





Suradi berkata, tanggungjawab yang dipikul selepas mendirikan rumah tangga perlu dihayati sepenuhnya bersama kerana ia bukan hanya membabitkan kerukunan rumah tangga itu sendiri, tetapi juga perhubungan suami isteri untuk jangka masa yang lama.





"Jika di peringkat awal, masalah sekecil itu sudah menjadi punca kepada perbalahan antara suami isteri, sudah pasti ia boleh mendatangkan kesan mendalam dalam membuat keputusan lebih besar di kemudian hari.





"Cuba tanganinya dengan cara berhemah dan rasional. Hasilnya, pasangan terbabit akan sentiasa menjadikan persefahaman sebagai landasan utama bagi membuat sebarang keputusan kelak," katanya.





Kebiasaannya, pasangan akan memilih untuk bergilir-gilir pulang ke kampung halaman masing-masing bagi mengelakkan berlaku kekalutan, tetapi proses untuk menentukan rumah siapa yang dilawati terlebih dulu bergantung pada individu berkenaan.





"Dapatkan persetujuan bersama untuk proses penggiliran dan pastikan urutan yang dilakukan mengikut giliran masing-masing agar semuanya sama merasa kemeriahan beraya di kampung bersama keluarga tersayang.



"Permuafakatan dalam menjadikan ia satu realiti amat bermakna terutama dalam perhubungan suami isteri. Masing-masing perlu saling hormat menghormati antara satu sama lain dan sudah semestinya tolak ansur amat penting," katanya.






Jangan sesekali menjadikan permasalahan ini berlanjutan tanpa sebarang jalan penyelesaian kukuh kerana ia boleh memberi impak negatif dalam hubungan jangka panjang suami isteri.





Sikap tidak ambil peduli dan tidak peka terhadap perasaan pasangan sewajarnya jangan diamalkan bagi mengelakkan permasalahan lebih besar pada masa akan datang.





"Fahami dan selami apa yang bermain di fikiran pasangan anda sebaik mungkin agar perhubungan yang dibina sentiasa ceria dan harmoni," katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tolakansurdapatelakrasatidakpuashati/Article/index_html

0 comments:

Post a Comment