Pages

Wednesday, September 15, 2010

Pemuda Mati Lemas Ketika Berenang Ke Sangkar Ikan

Selasa September 14, 2010

SITIAWAN: Seorang pemuda berusia 19 tahun mati lemas di Sungai Dinding ketika berenang menuju ke sebuah sangkar ikan untuk memancing bersama tiga rakannya di Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar dekat sini, Isnin.

Semasa kejadian, mangsa Mohd Amirul Hakimi Huzaini dari Banting, Selangor, sedang bercuti di rumah neneknya di Kampung Telaga Nenas.

Seorang saksi, Zainal Abidin Baharum, 50, berkata kejadian berlaku pada 5.45 petang ketika beliau sedang berehat di rumahnya yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.

"Semasa kejadian, bapa saudara dan dua orang lagi rakan mangsa menaiki sampan menuju ke sebuah sangkar ikan kira-kira 50 meter dari pantai ketika air pasang.

"Mangsa ketika itu enggan menaiki sampan, sebaliknya berenang menuju ke sangkar ikan tersebut walaupun dilarang oleh bapa saudaranya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian Selasa.

Zainal Abidin berkata beliau mendengar mangsa menjerit meminta tolong sebelum tenggelam dibawa arus ketika berada beberapa meter dari sangkar ikan tersebut, namun tidak dihiraukan bapa saudara dan rakannya kerana dia dikatakan memang suka bergurau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung DSP Shaharuddin Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata selepas menyedari Mohd Amirul tidak timbul-timbul, rakan mangsa cuba membantu namun gagal ekoran arus deras serta keadaaan sungai yang dalam iaitu kira-kira 8 meter di tempat kejadian.

Katanya, sepasukan anggota bomba dan penyelamat serta Pasukan Gerakan Marindikejarkan ke tempat kejadian, namun operasi mencari dan menyelamat mangsa terpaksa dihentikan ekoran cuaca gelap, dan disambung pukul 7 pagi ini.

Shaharuddin berkata mayat mangsa ditemui tidak jauh dari tempat kejadian pukul 10 pagi oleh pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat berkenaan. Mayat Mohd Amirul kemudian dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat, dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telaga Nenaspetang ini. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/9/14/mstar_jenayah/20100914183605&sec=mstar_jenayah

0 comments:

Post a Comment