Pages

Tuesday, September 14, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Sosilawati rancang jual tanah di Bukit Jambul

KAWASAN lapang dipercayai tanah yang ingin dijual Sosilawati di Bukit Jambul, Pulau Pinang.


Jutawan kosmetik rancang senarai syarikat di Bursa Malaysia




GOMBAK: Datuk Sosilawati Lawiya sebenarnya bercadang menjual tanah seluas 4 hektar miliknya di Bukit Jambul, Pulau Pinang sebelum beliau hilang dan bukan mahu membeli tanah di negeri berkenaan seperti dilaporkan sebelum ini.
 
 
 
Pendedahan itu dibuat sahabat karib jutawan kosmetik terbabit, Datuk Suhaimi Ibrahim yang kali terakhir berbual dengan Sosilawati melalui telefon pada 29 Ogos lalu, iaitu sehari sebelum dia dilaporkan hilang. “Sebelum puasa, Sosilawati berjumpa saya untuk berbincang mengenai penjualan tanahnya di Bukit Jambul, selain mendapatkan nasihat mengenai cadangan mahu menyenaraikan syarikatnya di Bursa Malaysia.




“Pada perjumpaan itu di Hotel Sheraton dan Hotel Park Royal di Kuala Lumpur, Sosilawati menceritakan cadangan penyenaraian itu dan juga mengenai penjualan tanahnya bernilai RM12 juta di Bukit Jambul dan meminta nasihat saya.



“Malah, dalam perbualan pada 29 Ogos itu, Sosilawati turut mengajak saya ke Banting untuk urusan penjualan hartanah berkenaan, tetapi saya tidak dapat ikut berikutan ada urusan lain. Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan siapa yang akan ditemuinya di Banting,” katanya.



Beliau berkata, tanah terbabit dibeli Sosilawati kira-kira enam tahun lalu dengan harga RM2 juta, dan memutuskan untuk menjualnya pada harga RM12 juta bagi mengumpul aset untuk membolehkan penyenaraian syarikatnya.



Mengulas lanjut, Suhaimi yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pertemuan lanjut dirancang pada 31 Ogos, tetapi usaha untuk menghubungi Sosilawati gagal.



“Berikutan itu, saya membuat laporan polis dan memaklumkan kepada media atas nasihat Shahrizat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah Sosilawati di Taman Harmonis di sini, semalam.



Sementara itu, sumber memberitahu Berita Harian, tanah milik Sosilawati terletak di kawasan bukit di belakang Universiti Sains Malaysia (USM).



Sumber itu berkata, pada mulanya seorang pemaju dari Negeri Sembilan berminat membelinya, bagaimanapun urusan jual beli gagal kerana tanah berkenaan dikategorikan sebagai kawasan hijau dan mempunyai syarat terhad iaitu pokok di sekitarnya tidak boleh ditebang.



“Apabila tanah terbabit gagal dijual, Sosilawati meminta peguamnya membantu mencari pembeli baru, tetapi saya dimaklumkan peguamnya tidak dapat mencari pembeli sesuai,” kata sumber ketika dihubungi, semalam.
 
 
 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SosilawatirancangjualtanahdiBukitJambul/Article/index_html

0 comments:

Post a Comment