Pages

Tuesday, September 14, 2010

Padah gagal bayar RM4,000

Oleh Irwan Shafrizan Ismail


irwansha@bharian.com.my

2010/09/14

Lelaki cedera dikurung, dibelasah sekumpulan ceti haram



KUANTAN: Seorang lelaki menempuh pengalaman menyeksakan apabila dipukul, disebat dan dikurung sekumpulan lelaki dipercayai ceti haram atau along di sebuah pangsapuri tidak berpenghuni di Genting Highlands, dekat Bentong, 4 September lalu.
 
 
Mangsa berusia 24 tahun ditahan along terbabit selepas gagal melunaskan pinjaman RM4,000 dengan faedah RM1,000 selepas diberi tempoh perjanjian pembayaran selama tiga hari. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner T Narenasagaran, berkata mangsa ditahan ceti haram berkenaan kira-kira jam 3 petang pada hari kejadian sebelum dibawa ke pangsapuri di Genting Highlands dengan diikat dan dikurung di sebuah bilik.




Beliau berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Bentong meminjam RM4,000 dengan along berkenaan tetapi gagal membayarnya menyebabkan fae-dah pinjaman bertambah.



“Selepas gagal menyediakan wang seperti dijanjikan, kumpulan lelaki itu memukul dan menyebat mangsa menggunakan rotan menyebabkannya mengalami cedera di seluruh badan.



“Seorang daripada along terbabit turut menghubungi keluarga mangsa meminta RM10,000, tetapi mereka dikatakan tidak mampu menjelaskan hutang itu termasuk faedahnya menyebabkan mangsa dibelasah sekali lagi,” kata beliau di pejabatnya di sini, semalam.

Narenasagaran berkata, mangsa berjaya melepaskan diri ketika ditinggalkan berseorangan dalam pangsapuri berkenaan dan segera melaporkan kejadian itu di Balai Polis Genting Highlands.



Beliau berkata, mangsa dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Bentong (HB) kerana cedera di tubuh dan kaki akibat dipukul.



“Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai terbabit dengan sindiket ceti haram beberapa hari kemudian di sekitar bandar Bentong.



“Lelaki yang berasal dari Rawang, Selangor itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong untuk siasatan lanjut dan gerakan memburu baki kumpulan along yang terbabit dalam kejadian itu sedang giat dijalankan,” katanya.

 
 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PadahgagalbayarRM4_000/Article/index_html

0 comments:

Post a Comment