Pages

Wednesday, September 15, 2010

Mangsa rentung berpatah balik ke Jerlun untuk ambil ketupat

hmetro - Mangsa rentung berpatah balik ke Jerlun untuk ambil ketupat

2010/09/15

JERLUN: Empat mangsa yang rentung dalam kemalangan di KM394, Lebuhraya Utara Selatan dekat Kuala Lumpur pagi ini telah bertolak ke Kuala Lumpur tengah hari semalam tetapi berpatah semula sewaktu tiba di Kulim untuk mengambil ketupat palas yang tertinggal di Kampung Matang Bongor, Ayer Hitam di sini.



Abang seorang daripada mangsa Suhaimi Abu Bakar, 27, berkata adiknya Suzita Abu Bakar, 25, bersama suaminya, Azri Ismail, 27, dan anak mereka, Mohd Amar Haikal, berumur 25 bulan, serta seorang rakan mereka, Mohd Hasnizam Abdul Mutalib, 20, kemudian meneruskan semula perjalanan ke Kuala Lumpur malam tadi selepas mendapatkan ketupat palas itu.



"Mereka keluar dari kampung tengah hari semalam namun berpatah balik kerana tertinggal ketupat palas dan mereka meneruskan semula perjalanan ke Kuala Lumpur kira-kira 10 malam tadi.



"Saya memang rasa tak sedap hati kerana orang tua-tua cakap tidak elok berpatah balik dalam perjalanan namun saya diamkan sahaja sehinggalah saya mendapat berita tragedi yang menimpa mereka tengah hari tadi," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Matang Bongor hari ini.




Beliau berkata, sehingga kini ibunya, Natrah Omar, 60, belum mengetahui kejadian itu dan dia risau untuk memberitahunya kerana ibunya kurang sihat.




Suhaimi berkata, adiknya adalah seorang yang peramah dan amat rapat dengan ibu mereka.



Beliau berkata, pasangan suami isteri itu baru membuka spa di Kuala Lumpur dan Mohd Hasnizam yang juga kenalan Azri mengikut mereka untuk bekerja di bandar raya itu.


Jenazah tiga sekeluarga itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Matang Bongor, malam ini.



Dalam kejadian jam 8.05 pagi tadi, keempat-empat mangsa rentung apabila kereta jenis Proton Persona yang dipandu Azri terbakar selepas terbabas dan melanggar bahagian belakang lori yang berhenti di lorong kecemasan.


Mereka dikatakan mahu pulang ke rumah di Kota Damansara selepas menghabiskan cuti sempena Aidilfitri di Alor Setar, Kedah.- Bernama


http://www.hmetro.com.my/articles/MangsarentungberpatahbalikkeJerlununtukambilketupat/Article


_______________________________________________________

ALFATIHAH -

0 comments:

Post a Comment