Pages

Tuesday, September 14, 2010

Kemeriahan raya bertukar tragedi

ALOR SETAR - Suasana menyambut hari raya yang masuk hari keempat bersama keluarga akhirnya bertukar kepada tragedi apabila rumah yang didiami 12 penghuni musnah dalam satu kebakaran pada jam 4 pagi, semalam.


Khalid Rejab, 64, berkata, dia yang sedang tidur di tingkat bawah rumah dua tingkat di Kampung Parit Buaya itu, menyedari kejadian kebakaran setelah dikejutkan oleh menantunya, Mohd Zulkarnian Karman.

Menurutnya, kejadian yang berpunca daripada sistem pendawaian lama itu telah menyebabkan kerugian hampir mencecah RM150,000.



“Apabila dikejutkan oleh menantu saya terus mengarahkan semua ahli keluarga agar menyelamatkan diri dan anak masing-masing serta cuba untuk memadamkan api.


“Namun, apabila saya naik ke tingkat atas untuk menutup suis utama, tangan saya di sebelah kanan terkena renjatan elektrik dan menyebabkan ia kebas,” katanya.



Khalid berkata, dia mengalami kecederaan kaki di sebelah kirinya akibat melecur setelah terpijak tikar getah yang telah terbakar. Banyak peralatan dan keperluan di dalam rumah yang musnah termasuklah satu tan beras agronik yang hendak dijual.



Mohd Zulkarnian Karman, 34, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila berasa bahang yang terlalu panas di dalam biliknya dan apabila terjaga dia terkejut melihat api yang sedang marak.



“Saya menyedari kejadian itu bukan sahaja disebabkan berasa bahang yang panas malah saya juga dengar bunyi bising.



“Apabila bangun saya terus kejutkan bapa saya dan menyelamatkan kereta serta motosikal yang diletakkan berhampiran rumah namun peralatan saya yang lain seperti komputer riba tidak dapat diselamatkan,” katanya.


Bagi anak Khalid, Khaizurina Khalid, 38, yang membuka butik pengantin dan menyimpan peralatan pelamin di rumah itu tidak sempat menyelamatkan peralatan pengantin berkenaan kerana api marak dengan cepat.



Sementara itu, Ketua Operasi, Md Noor Din berkata, bilik kawalan menerima panggilan pada jam 4.09 pagi dan tiga jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak bergegas ke tempat kejadian.


Beliau berkata, seramai 16 anggota yang terlibat untuk memadamkan kebakaran yang mengambil masa kira-kira 10 minit.


http://www.sinarharian.com.my/utr/content/story8173078.asp

0 comments:

Post a Comment