Pages

Tuesday, September 14, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Hanya 2 kes Datuk tipu dilapor

SEORANG penduduk kampung tidak dapat menahan kesedihan ketika meninjau lokasi pembunuhan Sosilawati, semalam.

SHAH ALAM: Hanya ada dua kes penipuan membabitkan seorang peguam dan ahli perniagaan bergelar Datuk yang kini menjadi suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, dilaporkan kepada polis Selangor, walaupun suspek dipercayai terbabit dengan kehilangan empat individu sejak setahun lalu.



Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, ketika dihubungi, berkata dua lagi kes membabitkan kehilangan dua individu tidak dilaporkan di negeri itu.



Bagaimanapun, ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkembangan empat kes kehilangan berkenaan, Khalid meminta pemberita menghubunginya esok (hari ini) berikutan beliau perlu meneliti laporan yang disediakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat. “Setakat ini ada dua saja. Dua lagi mungkin dilaporkan di tempat lain,” katanya.




Difahamkan, selain satu kes membabitkan seorang jutawan warga India dari Chennai yang hilang sejak tiba di negara ini pada 18 Januari lalu, satu lagi kes membabitkan pembunuhan seorang wanita di Taman Cempaka di Banting, tahun lalu dikatakan mempunyai kaitan dengan peguam itu.



Minggu lalu, peguam berkenaan, adiknya serta enam pekerja mereka termasuk dua wanita ditahan reman sehingga 18 September ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; pegawai CIMB Bank Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, yang dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu, selepas mereka dipercayai ke Banting untuk berurusan dengan suspek.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Hanya2kesDatuktipudilapor/Article/index_html

0 comments:

Post a Comment