Pages

Sunday, September 12, 2010

Wanita paling banyak soal

PERANAN sebagai amil atau pemungut zakat, baik zakat fitrah atau perniagaan memang diketahui umum.

AKTIVITI...antara tanggungjawab sosial PPZ-MAIWP ialah melakukan aktiviti gotong-royong bersama pertubuhan anak yatim.



BINCANG...bersama seorang amilah, Nur Haliza meneliti jadual potongan zakat di kaunter bayaran.

___________________________________________________________

Namun jarang yang mengetahui peranan amilah atau pemungut zakat wanita. Amilah sebenarnya bukan sekadar menjadi pemungut wang atau zakat yang diwajibkan ke atas umat Islam.




Bagi Nur Haliza Abd Rahman yang pernah bertugas di beberapa syarikat korporat, mulanya dia sendiri beranggapan amilah sekadar kerjaya biasa di sebuah syarikat yang dinaungi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu. Tetapi selama dua tahun mencurahkan keringat di Pusat Pungutan Zakat, tanggungjawabnya juga mengkhusus kepada publisiti, korporat dan pengiklanan yang dianggap pilihan tepat untuk dirinya.





"Ramai yang kurang mengenali peranan pembayar zakat wanita (harta atau fitrah).



"Justeru, tugas amilah adalah membantu PPZ bukan hanya daripada segi kutipan, sebaliknya turut memberi kesedaran ia suatu kewajipan.





"Di situ cabarannya bermula kerana kami yang terdiri daripada amilah harus mendekati masyarakat sama ada individu atau golongan korporat untuk memupuk kesedaran membayar zakat.





"Kebiasaannya, pembayar zakat lelaki harus bersalaman ketika melaksanakan bayaran. Sebenarnya, bersalaman hanyalah sunat, tetapi bagi pembayar zakat, melafazkan niat sudah memadai. "Tambahan pula, kini di kaunter pembayar zakat wanita juga berdepan dengan amil, tetapi memadai dengan membaca atau melafazkan niat sebagai tanggungjawab, maka terlaksana tugasnya sebagaimana tuntutan agama," katanya.





Mengenai skop tugasnya, wanita ini ternyata suka mencabar diri sendiri dalam sesuatu yang dianggap sukar oleh orang lain. Ini termasuk ketika berdepan sesetengah pembayar zakat wanita yang paling banyak 'soal jawab' apabila diminta menunaikan tanggungjawab berzakat.





"Sepanjang pengalaman saya di bidang ini, saya berdepan dengan kebanyakan wanita yang banyak menyoal apabila kami meminta mereka membayar zakat. "Apabila sudah dibuat taksiran terhadap jumlah yang perlu dibuat, mereka ada bermacam-macam alasan. Misalnya, terpaksa tanggung itu dan ini serta pelbagai bayaran lain.





"Saya pernah juga berdepan dengan layanan dan perkataan yang kurang manis namun sebagai amilah, kami sudah dilatih untuk mendengar masalah mereka sebelum memberi jalan penyelesaian.





"Mengenai cabaran sedemikian, sememangnya setiap amilah atau amil sudah dilatih di samping harus sentiasa menjaga penampilan dan pertuturan apabila berdepan kerenah pelanggan daripada pelbagai aspek termasuk sudut psikologi. "Semua ini nampak mudah, tetapi perlu dilakukan secara berhemah supaya semua orang faham bahawa ini tanggungjawab agama," katanya.





Bukan itu saja, tanggungjawab lain meliputi mengendalikan sesi ceramah untuk individu atau organisasi besar bagi memberi penjelasan sebenar-benarnya supaya masyarakat faham peranan mereka.




Terdedah dengan pelbagai insiden namun pengalaman manis tetap disimpan di sudut hati kerana terdapat segelintir pembayar zakat akhirnya menjadi kenalan rapat sehingga terjalin ukhuwah terutama jika ada aktiviti berkaitan.






Nur Haliza menjelaskan, golongan asnaf masih perlu dibantu biarpun jumlah kutipan zakat yang diagihkan adalah RM242 juta pada tahun lalu (dianggap kedua tertinggi selepas Lembaga Pungutan Zakat Selangor) berikutan pertambahan penduduk miskin.





Di samping itu, menurutnya, tahap kesedaran masih rendah di kalangan golongan berkemampuan melaksanakan zakat harta atau perniagaan untuk membantu golongan yang memerlukan itu.





Katanya, menerusi agensi yang dilantik PPZ-MAIWP seperti Baitulmal Wilayah Persekutuan dan Yayasan Taqwa terdapat lebih 26 skim bantuan yang boleh dipohon golongan asnaf bagi mengurangkan beban tanggungan jika mereka benar-benar memerlukan. Bagi memberi kesedaran kepada orang ramai pula, PPZ-MAIWP turut melakukan publisiti meluas menerusi media supaya masyarakat daripada semua peringkat mengetahui tanggung jawab mereka.



Ini seterusnya membolehkan masyarakat lebih memahami peranan amil atau amilah dalam memartabatkan amalan berzakat bagi menjana taraf hidup masyarakat ke arah lebih dinamik.






"Kami ada skuad yang turun padang ke setiap syarikat yang dinamakan Sistem Integrasi Zakat (Siza). Mereka mengumpul semua data pembayar zakat yang berpotensi di Wilayah Persekutuan, malah kajian kenaikan gaji dan perniagaan sesebuah syarikat diteliti serapi mungkin. "Di samping itu, menerusi Skim Thohir, potongan gaji bagi membayar zakat setiap bulan dilakukan dengan lebih terancang.





"Ramai yang tidak mengetahui bahawa PPZ juga ada pengecualian tertentu misalnya potongan diberikan ke atas sesuatu jumlah sebanyak tiga per lapan daripada kadar yang dibayar iaitu 1.5 peratus daripada agregat pendapatan.



"Lebih penting, kami juga mahu golongan asnaf berusaha gigih untuk mengubah taraf hidup supaya mereka pula dapat membantu asnaf lain apatah lagi tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima," katanya.



>Profil

NAMA: Nur Haliza Abd Rahman

ASAL: Taiping, Perak

JAWATAN: Pegawai Unit Komunikasi Korporat PPZ-MAIWP, Kuala Lumpur

PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

STATUS: Bujang



http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wanitapalingbanyaksoal/Article

0 comments:

Post a Comment