Pages

Tuesday, September 14, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Ujian ibu pemandu bertimpa

2010/09/14

KUANTAN: “Dua tahun lalu anak sulung saya meninggal dunia akibat sakit barah hati, tetapi tahun ini Kamarudin pula pergi meninggalkan kami sekeluarga. Sungguh kuat ujian Aidilfitri kali ini,” kata Zainab Ahmad, 73, ibu kepada Kamarudin Samsudin, 44, pemandu peribadi jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya yang mati dibunuh kejam sebelum dibakar.




Menurut Zainab, Kamarudin pulang ke rumahnya di Indera Mahkota di sini, pada 25 Ogos lalu dan sempat berbuka puasa bersama keluarga sebelum kembali ke Kuala Lumpur pada pagi 30 Ogos kerana mempunyai tugas bersama majikannya.



Katanya, ketika pulang bercuti selama lima hari itu, dia tidak melihat sebarang perubahan atau sikap pelik pada diri anak kelima daripada enam adik beradik kecuali Kamarudin menunjukkan sikap semakin peramah dengan keluarga dan adik-beradik.





“Kamarudin yang dipanggil Kama di kalangan ahli keluarga, sempat membawa anak bongsunya, Irfan Aiman, 8, yang dijaga seorang lagi anak saya, Ramlah, 49, membeli dua pasang baju Melayu dan beberapa kelengkapan untuk Aidilfitri sebelum pulang ke Kuala Lumpur.





“Kama turut memberi saya dua pasang baju kurung dan sepasang telekung yang dihadiahkan Sosilawati. Manakala dua lagi anak Kama iaitu, Izran Ikmal, 9, dan Balqis Dayana, 12, kini dipelihara bekas isteri, Nor Fazillah Ab Sani, 33, di Rembau, Negeri Sembilan,” katanya.





Zainab berkata, kebiasaannya setiap kali menjelang Aidilfitri, Kamarudin adalah orang paling sibuk menghias rumah, memasak juadah raya dan juga kuih raya, tetapi semua itu kini tinggal kenangan yang menyedihkan.





“Saya terkilan dan sedih sangat kerana tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama Kama kerana dialah yang gemar memeriahkan suasana Hari Raya selain suka makan lemang bersama rendang pada pagi raya.





“Apa salah Sosilawati dan anak saya, sanggup pembunuh terbabit melakukan perbuatan kejam itu. Saya amat berharap pembunuh yang berhati kering itu dikenakan hukuman setimpal,” katanya.





Biarpun berat hati dan masih terkejut menerima berita menyedihkan itu, dia sekeluarga reda dengan ketentuan Tuhan dan menganggapnya sebagai dugaan.





Zainab berkata, Kamarudin pernah beberapa kali menyuarakan hasrat untuk meletak jawatan sebagai pemandu peribadi tanpa memberitahu alasannya namun tidak sampai hati meneruskan niatnya kerana kasihankan majikannya itu yang banyak berjasa dan membantunya. Malah, Sosilawati sendiri pernah menghubungi Zainab memaklumkan Kama mahu berhenti kerja selepas hampir empat tahun berkhidmat, tetapi tidak mampu teruskan niat itu kerana kasihan.





“Sosilawati turut memberitahu dia tidak pernah jumpa orang jujur seperti Kama kerana tidak meninggalkannya sendirian terutama ketika sedang menghadapi kesusahan.


“Kama tahu ramai orang yang mahu menipu Sosilawati dan mungkin disebabkan perkara ini dia tidak tergamak berhenti kerja. Saya tidak menyangka kesetiaannya bersama Sosilawati dipertahankan sehingga akhir hayat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KesbunuhSosilawati_Ujianibupemandubertimpa/Article/index_html

0 comments:

Post a Comment