Pages

Wednesday, September 15, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Kesan dua telefon bimbit dalam sungai

BANTING: Polis menemui petunjuk terbaru apabila dua daripada tiga telefon bimbit milik mangsa bunuh dan bakar yang dipercayai dibuang di Sungai Kanchung Laut, ditemui kelmarin.
Menurut sumber, telefon berkenaan diperoleh ketika operasi mencari bukti yang dilakukan selepas penemuan jam tangan berjenama milik Datuk Sosilawati Lawiya. Usaha mencari senjata digunakan bagi membunuh mangsa digiatkan pasukan forensik polis di kawasan itu dan dibantu unit gerakan Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sungai Kanchung Laut di sini, semalam Dalam operasi bermula jam 12 tengah hari itu, forensik menemui satu lagi jam tangan turut mempunyai nombor siri menjadikan dua jam tangan ditemui sehingga semalam.

Tiga suspek juga dilihat dikawal rapi Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman, Kuala Lumpur yang dibawa bagi mengecam barangan ditemui.

Seorang daripada suspek dibawa ke lokasi itu selepas polis menggeledah pejabat firma guaman suspek utama kira-kira jam 2 petang.

Suspek dibawa kembali ke lokasi sungai berkenaan kira-kira jam 3.15 petang sebelum dilihat mencangkung di tepi jambatan mengecam barang ditemui.

Menurut sumber, polis sedang mencari besi tajam mencantas tandan kelapa sawit termasuk pencangkuk besi yang digunakan ketika menyembelih mangsa, namun masih belum ditemui sehingga petang semalam. Bagaimanapun, satu pisau ditemui pasukan penyelam forensik kira-kira jam 4.20 petang di sungai terbabit namun dipercayai tidak digunakan suspek apabila mereka tidak mengaku senjata berkenaan milik mereka.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kesanduatelefonbimbitdalamsungai/Article

__________________________________________________

Kes bunuh Sosilawati: Polis temui bukti baru

 
BANTING – Polis menemui dua telefon bimbit jenis Blackberry dan jam tangan dipercayai milik mangsa pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bersama tiga individu lain di Ladang Gadong, sejak kelmarin.



Menurut sumber, dua telefon bimbit itu ditemui dalam tali air berdekatan sebuah restoran makanan segera di sekitar Banting malam kelmarin.


Bagaimanapun, katanya, pemilik sebenar kedua-dua telefon bimbit itu masih belum dapat dipastikan.


“Siasatan awal tidak menolak kemungkinan, telefon itu milik salah seorang daripada empat mangsa terbabit.


“Selain itu, senjata tajam iaitu pisau turut dijumpai dalam sungai berhampiran Ladang Gadong iaitu lokasi di mana abu keempat-empat mayat mangsa dipercayai dihanyutkan. Senjata itu dipercayai alat yang mungkin digunakan suspek dalam kejadian,” katanya.



Sumber berkata, siasatan lanjut bagi memperoleh bukti lain kes diteruskan pada jam 4 petang semalam di kawasan Sungai Kanchung Laut, kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian.


Menurutnya, seramai tiga daripada lapan suspek dibawa ke lokasi terbabit bagi membantu siasatan yang melibatkan Unit Forensik serta bantuan daripada tiga anggota Unit Selam Marin.



“Siasatan yang dibuat memperoleh petunjuk baru apabila seutas jam tangan dipercayai milik salah seorang daripada empat mangsa ditemui dalam sungai berkenaan. Sehingga jam 6.30 petang semalam, usaha mencari bahan bukti diteruskan polis,” katanya.



Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di kawasan firma guaman milik suspek bergelar 'Datuk' mendapati tiada pekerja di pejabat malah premis itu turut ditutup.


Bagaimanapun, kira-kira jam 3.30 petang semalam, terdapat dua anggota polis dilihat memasang garisan polis di kawasan premis terbabit untuk menjalankan siasatan berhubung kes.

http://www.tranungkite.net/v10/modules.php?name=News&file=article&sid=7757

0 comments:

Post a Comment