Pages

Wednesday, September 15, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Jangan Sebar Khabar Angin Mengenai Kes Sosilawati

Selasa September 14, 2010


KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta supaya tidak menyebar sebarang khabar yang tidak benar atau berita tohmahan yang berkaitan dengan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya and tiga individu lain, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang membuat gesaanitu berkata beliau melihat kes berkenaan sebagai satu kejadian jenayah kejam dan berat yang merentasi batas kaum dan agama.

"Semua kaum dan agama dalam negara dengan nada yang sama mengutuk apa yang terjadi," katanya dalam satu kenyataan di sini Selasa.

Katanya beliau berharap tindakan lanjut polis dan tindakan undang-undang nanti akan meredakan kemarahan orang ramai dan mampu menangani apa jua kemungkinan, termasuk menangani sebarang persepsi negatif antara mana-mana kaum.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Karim, 32, sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Dua hari lepas polis mengesahkan suspek dalam kes kehilangan jutawan itu mengaku membawa semua mangsa ke sebuah ladang, sebelum mereka dipukul mati dan mayatnya dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di Kuala Langat.

Hishammuddin seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan polis dalam kes pembunuhan itu supaya membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Sementara itu Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pula dalam satu kenyataan di sini menegaskan kes pembunuhan itu tidak sama sekali berunsurkan perkauman.

"Ia adalah kes pembunuhan atau satu kes jenayah yang 'gruesome and cowardice," katanya.

Ismail turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau tafsiran sendiri dengan hanya mendengar khabar angin sehingga boleh memudaratkankeadaan.

Beliau berkata dengan tertangkapnya beberapa suspek, kes ini boleh dianggapselesai dan ia merupakan satu kejayaan bagi Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia.

"Siasatan akan disiapkan segera dan cadangan pertuduhan akan dikemukakan kepada pihak Peguam Negara agar mereka yang terlibat boleh diadili dan dihukum setimpal dengan kesalahan yang dilakukan," katanya. - BERNAMA


http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/14/mstar_berita/20100914212940&sec=mstar_berita



Media Diingatkan Tidak Buat Laporan Melampau Kes Sosilawati


KUALA LUMPUR: Media diingatkan supaya mengamalkan kekangan dan lebih berhemat serta tidak melampaui batas hinggamenggugat keadilan ketika melaporkan siasatan mengenai kehilangan jutawankosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dalam satu kenyataan melahirkan "pandangan berat mengenai laporan sedemikian", terutama oleh akhbar arus perdana.

"Adalah dikesalkan, sesetengah 'pendedahan' ini, khususnya butiran tentang bagaimana mangsa menemui ajal mereka, semata-mata spekulasi," kata beliau.

Beliau berkata pengamal media harus ingat tentang tanggungjawab mereka.

"Tidak harus wujud perbicaraan menerusi media terhadap mereka yang ditangkap. Dengan menyebut sumber polis bagi bahan berita mereka, juga tidak akan membantu. "Malah, pemberita dan editor mungkin dipanggil untuk memberi penjelasan, atau menyatakan kewajaran berita mereka di mahkamah undang-undang nanti," kata Mohd Bakri.

"Begitu juga, mereka tidak harus menyiarkan sesuatu, yang kemudian boleh digunakan sebagai bukti, jika berlaku perbicaraan terhadap orang atau orang-orang yang bertanggungjawab terhadap kematian Datuk Sosilawati dan tiga yang lain itu.

"Saya akui, ini kes kepentingan awam. Datuk Sosilawati adalah seorang usahawan wanita yang berjaya. Orang ramai berhak tahu apa yang telah berlaku kepada mereka dan apa yang telah dilakukan oleh polis untuk membawa pelaku kesalahan ke muka pengadilan.

"Kami tidak mempunyai masalah dengan media menyiarkan berita oleh kerana itu adalah bidang mereka, tetapi saya ingin mengingatkan mereka agar mengamalkan kekangan dan lebih berhemat serta tidak melampaui batas hingga menggugat keadilan," kata beliau. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/14/mstar_berita/20100914184944&sec=mstar_berita

0 comments:

Post a Comment