Pages

Wednesday, September 15, 2010

Anggota polis, anak maut dalam kemalangan


REMBAU - Seorang anggota polis dan anak perempuan sulungnya maut setelah kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori kecil di Kilometer 237.3 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa, Koperal Rubaie Abdul Rahman, 41, dan anak perempuannya, Nuraziera, 15, mati di tempat kejadian akibat cedera parah pada badan dan kepala.

Mangsa yang bertugas di Pondok Polis Simpang Tiga Ijok dekat Batang Berjuntai, Selangor, bersama empat ahli keluarga dalam perjalanan ke kampung mereka di Bukit Gambir, Muar, Johor.

Jurucakap polis berkata, kereta Proton Waja dipandu Rubaie dipercayai merempuh bahagian belakang lori tanpa muatan di lorong paling kanan lebuh raya sebelum terbabas berhampiran susur keluar Pedas-Linggi.

"Rempuhan itu mengakibatkan kereta mangsa remuk teruk sebelah kanan manakala Nuraziera yang duduk di belakang pemandu tercampak keluar kenderaan.

"Seorang lagi anak mangsa, Fatin Adila, 9, cedera parah dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk dirawat,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, isteri mangsa, Rashidah Abdul Samad, 37, dan anak bongsu mereka, Farah Elisa Najwa, 5, cedera ringan dan dirawat di Hospital Tampin.

http://www.sinarharian.com.my/com/content/story8173628.asp

0 comments:

Post a Comment