Pages

Thursday, September 16, 2010

Padah prihatin tidak bertempat

2010/09/15

KUALA TERENGGANU: Gara-gara ‘prihatin’ tidak bertempat, seorang warga emas terpaksa bermalam di lokap selepas membelasah seorang pemandu lori berikutan curiga dengan kehadiran lelaki itu di rumah tunangnya, kelmarin.
Kejadian berlaku selepas suspek dikatakan ‘sakit mata’ akibat sering melihat perlakuan mencurigakan mangsa yang sering berkunjung ke rumah tunangnya di Chendering, di sini, menyebabkan dia memukul mangsa yang berusia 36 tahun itu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu menyebabkan mangsa cedera di lengan kiri, belakang leher, jari telunjuk kanan serta lutut kiri.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, mangsa dikatakan pergi ke rumah tunangnya, janda anak dua untuk mengambil beg miliknya sebelum dipukul lelaki berusia 57 tahun itu yang tinggal berhampiran rumah wanita berkenaan.

“Ketika kejadian, mangsa pergi ke rumah itu bersama kelindannya sebelum meninggalkan rakannya itu lalu masuk ke rumah wanita berusia 20-an itu sebelum keluar semula untuk ke tempat kerja sebaik mengambil begnya.

“Bagaimanapun, ketika hendak memulakan perjalanan, mangsa ternampak seorang lelaki menumbuk kuat pintu rumah tunangnya hingga bahagian tengah pintu itu retak.

“Bimbang keselamatan tunangnya, mangsa memberhentikan lorinya sebelum suspek yang menyedari mangsa mengetahui perbuatannya meminta mangsa naik ke tingkat atas rumah, namun mangsa enggan menyebabkan suspek turun dengan sebatang kayu lalu memukul mangsa,” katanya.

Menurutnya, dua anak suspek datang meleraikan pergaduhan itu sebelum mangsa membuat laporan di Balai Polis Chendering pada jam 10 pagi.

Harian Metro difahamkan, warga emas itu dikatakan tidak tahan melihat mangsa sering mengunjungi rumah tunangnya dan mengesyaki berlaku perbuatan sumbang antara mereka.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Padahprihatintidakbertempat/Article

0 comments:

Post a Comment