Pages

Sunday, September 12, 2010

Kelebihan wanita sasaran kasanova

2010/09/04

KUALA LUMPUR: Kelebihan pada wanita sering dijadikan senjata oleh lelaki kasanova untuk memerangkap wanita yang ingin dijadikan sasaran.




Lelaki jenis itu akan sentiasa memuji dan memperkatakan kelebihan dimiliki wanita hingga membuatkan mangsa rasa dihargai dan mudah jatuh hati.



Perunding Psikologi K&A Applied Psychology Consultancy (KAPC), Khairol Anuar Masuan berkata, bahasa berbunga dan nada suara lemah lembut juga dijadikan modal lelaki hidung belang untuk menggoda wanita dalam misi mengikis wang mereka.





“Lelaki kasanova bijak menarik perhatian dan membuat perkara disukai kebanyakan wanita. Dia menggunakan kelebihan yang ada pada wanita itu untuk memancing cinta. Misalnya, selalu memuji kecantikan atau kehebatan dimiliki mangsa.





“Untuk menarik perhatian, mereka juga sering melakukan perkara kecil tetapi berkesan di hati wanita seperti sentiasa mengambil berat mengenai wanita itu, menghadiahkan kek atau bunga walaupun sekadar memetiknya di tepi jalan,” katanya.





Menurutnya, wanita perlu berhati-hati dengan lelaki seperti ini kerana jika berkahwin, dia pandai memanipulasi sesuatu seperti meminta maaf jika melakukan kesilapan.





Katanya, keadaan ini bertentangan dengan sifat lelaki normal yang lazimnya mempunyai ego tersendiri dan sukar meminta maaf kepada wanita.





Beliau berkata, tidak dinafikan, apabila usia meningkat, wanita ingin diberi lebih perhatian oleh suami.





Bagaimanapun, katanya, ramai suami ketika itu sibuk memikirkan tanggungjawab pada keluarga atau kerjaya hingga kurang memberi perhatian kepada isteri.





“Kepada wanita, jangan ikut nafsu dan berpada-pada terhadap setiap tindakan dan tingkah laku. Mereka perlu menghargai apa dimiliki dan tidak mudah terpedaya dengan kata manis lelaki yang ada niat tersembunyi.





“Mungkin mereka tidak nampak penghargaan dilakukan suami tetapi suami melakukan lebih daripada jangkaan mereka, cuma kurang peka berkaitan hati dan perasaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kelebihanwanitasasarankasanova/Article

0 comments:

Post a Comment