Pages

Sunday, September 12, 2010

Wanita maut jatuh dari tingkat 20 kondominium

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Beberapa penghuni yang sedang mandi di kolam renang sebuah kondominium di Kota Damansara dekat sini malam tadi, tidak menyangka bunyi dentuman kuat yang didengari dari bawah bangunan sebenarnya seorang wanita yang mati terjatuh.




Dalam kejadian pukul 10.40 malam itu, mangsa, Chai Sook Mei, 22, ditemui mati akibat mengalami kecederaan parah setelah jatuh terhempap di atas bumbung pejalan kaki kondominium berkenaan.



Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai pembantu peribadi kepada seorang pengarah di sebuah syarikat swasta terjatuh dari koridor di tingkat 20 bangunan tersebut.



Dia yang tinggal di Bandar Utama dekat sini, dipercayai pergi ke kondominium terbabit setelah kecewa dengan keputusan keluarganya yang mahu menghantarnya ke pusat pemulihan dadah kerana difahamkan mangsa merupakan seorang penagih.



Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, kejadian tersebut disedari oleh penghuni yang mandi di kolam renang di situ setelah terdengar bunyi dentuman kuat di bawah bangunan.



"Mereka kemudian memeriksa apa yang berlaku dan terkejut apabila melihat tubuh seorang wanita berlumuran darah terbaring di bumbung pejalan kaki.



"Mangsa hanya memakai baju jenis 'cardigan' dan seluar dalam berwarna hitam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.



Beliau berkata, pemeriksaan polis mendapati mangsa meninggal dunia akibat mengalami kecederaan patah di kepala dan tangan.



Katanya, identiti mangsa disahkan berdasarkan lesen memandu yang ditemui dalam dompetnya.



Difahamkan, polis ada menemui beg tangan dan kasut mangsa di koridor terletak di tingkat 20 kondominium tersebut.



"Buat masa ini, kita mengklasifikasikan kes terbabit sebagai kematian mengejut.



"Namun, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada mangsa mati akibat membunuh diri, dipaksa terjun atau ada kaitan dengan unsur-unsur jenayah lain," katanya.



Beliau berrkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.



Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh di sini hari ini memberitahu, mereka ada membeli seunit kondominium di situ dan pernah mendiaminya selama lima tahun sebelum berpindah kira-kira setahun lalu.



"Selepas berpindah ke rumah baru, kami menyewakan kondominium terbabit kepada orang.



"Kami tidak tahu kenapa Sook Mei kembali ke situ semalam dan terkejut apabila dimaklumkan dia mati terjatuh," katanya sambil memberitahu mangsa masih bujang.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_02.htm

0 comments:

Post a Comment