Pages

Sunday, September 12, 2010

Tak serik

Oleh Maiamalina Mohamed Amin


maiamalina@hmetro.com.my

2010/09/06
 
KUALA LUMPUR: “Mujur mereka tidak berkahwin dengan lelaki terbabit, kalau tidak mungkin akan berdepan masalah sama ketika perkahwinan pertama,” kata Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal.




Beliau berkata demikian mengulas insiden tiga sahabat berstatus ibu tunggal dan berdepan masalah rumah tangga hampir terjerat dengan cinta palsu seorang kasanova berusia 43 tahun yang mahu mengikis barang kemas dan wang simpanan mereka untuk berjoli serta hidup selesa tanpa perlu bekerja.



Menurutnya, wanita berstatus ibu tunggal atau mereka yang menghadapi krisis rumah tangga perlu berhati-hati memilih pasangan baru berikutan kemungkinan untuk terjebak dengan kekecewaan sama hingga mengulangi apa yang pernah berlaku ketika perkahwinan terdahulu sangat besar.





“Ditambah dengan cabaran dan tuntutan hidup masa kini yang menuntut lelaki mencari pasangan bekerjaya untuk menyenangkan mereka, lebih memerlukan wanita berwaspada kerana kita tidak tahu niat dan kemungkinan bakal berlaku di kemudian hari.





“Beberapa kes yang saya tangani sebelum ini juga menunjukkan wanita yang berkahwin buat kali kedua akhirnya mengeluh mereka menyesal berkahwin sekali lagi kerana bukan kebahagiaan diperoleh tetapi mereka terpaksa menghadap masalah sama (ketika perkahwinan pertama).





“Rata-ratanya menjelaskan masalah utama dihadapi ialah terpaksa menanggung suami dengan suami melepaskan tanggungjawabnya. Kes-kes beginilah yang memerlukan wanita di luar sana perlu berhati-hati jangan cepat terpengaruh dengan ayat-ayat cinta,” katanya.





Noor Aziah berkata, tindakan lelaki menggoda wanita yang masih bergelar isteri orang meskipun pasangan itu sedang berdepan masalah dalaman juga tetap dianggap salah di sisi undang-undang mahupun agama, malah kesalahannya disiasat di bawah jenayah kanun keseksaan. Bagaimanapun, beliau tidak menafikan hukuman berat itu gagal menakutkan lelaki hidung belang malah kelompok Adam berperangai itu tetap menggoda isteri orang tanpa rasa bersalah hingga membuatkan mereka bercerai-berai.





“Apabila mereka berkahwin pun bukannya lelaki ini mampu memberi layanan istimewa melebihi bekas suaminya pun, malah dia lebih teruk lagi,” katanya.





Metro Ahad semalam melaporkan tiga sahabat terpaksa membuat laporan polis kerana yakin terkena panahan ayat cinta lelaki kasanova yang menggunakan pelbagai ayat manis untuk meyakinkan mangsa dia mencintai mereka dan berhasrat mendirikan rumah tangga.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Takserik12/Article/index_html

0 comments:

Post a Comment