Pages

Sunday, September 12, 2010

Culik olok-olok tukar jadi rogol

Oleh Hadzlihady Hassan


hadzlihady@hmetro.com.my





KUALA LUMPUR: Mereka berkenalan melalui laman sembang di Internet sebelum mengatur penculikan palsu.



Namun, ia bertukar menjadi satu titik hitam buat seorang pelajar berusia 16 tahun apabila dia diperlakukan dengan kejam selepas dicederakan dan dirogol lelaki yang dikenali melalui laman sembang itu.



Remaja perempuan terbabit pada mulanya menghantar SMS kepada bapanya mengatakan dia diculik ketika dalam perjalanan menuju ke sekolah kira-kira jam 7 pagi, Selasa lalu.



Difahamkan, remaja terbabit memberitahu bapanya yang dia ketika itu berjalan ke perhentian bas bersama seorang rakan sebelum mereka dihampiri sebuah van putih berhampiran rumahnya di Batu 9, Cheras.



Menurut sumber, dalam SMS itu remaja berkenaan mengatakan yang rakannya sempat melarikan diri manakala dia dibawa beberapa orang yang berada dalam van terbabit tanpa diketahui lokasinya.


 
Katanya, kandungan SMS yang dihantar kepada bapa remaja terbabit membuatkan bapanya itu resah sebelum dia membuat laporan polis di Kajang.




“Namun, penculikan itu dikesan satu penipuan apabila pelajar perempuan terbabit menghantar SMS meminta bapanya menyelamatkan dia selepas tidak tahan diperlakukan dengan kejam oleh lelaki yang dikenalinya melalui laman sembang itu.



“Dia diselamatkan ketika berada di satu lokasi di Cheras, kelmarin, selepas tidak tahan diperlakukan dengan kejam oleh lelaki terbabit kerana enggan melakukan hubungan seks,” katanya ketika dihubungi, semalam.



Sumber itu berkata, remaja terbabit terpedaya selepas dia termakan pujuk rayu lelaki berusia 19 tahun itu yang mengatur penculikan palsu terbabit semata-mata mahu menghabiskan masa di Port Dickson bersama beberapa rakan lain.



“Namun, percutian yang dirancang lelaki itu bersama beberapa lagi pasangan lain menjadi satu tragedi hitam buat gadis terbabit apabila dia yang berkhemah di pantai berkenaan dipaksa melakukan hubungan seks,” katanya.



Menurut sumber itu, gadis terbabit yang tidak tahan selepas dipaksa melakukan hubungan seks menghantar SMS meminta bapanya menyelamatkan dia yang ketika itu berada di ibu negara.



“Bapa gadis terbabit mengambil anaknya itu di lokasi yang diberitahu dan terkejut apabila mendapati gadis berkenaan cedera di telinga dan muka.



“Siasatan awal mendapati gadis itu cedera kerana dipukul selepas dia enggan melakukan hubungan seks bersama lelaki terbabit,” katanya.



Difahamkan, gadis berkenaan kini berada di hospital untuk mendapatkan rawatan dan menjalani pemeriksaan bagi mengesan sama ada dia dirogol atau sebaliknya.



Sementara itu, Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan gadis terbabit yang dibuat bapanya, namun enggan mengulas lanjut.
 
hmetro

0 comments:

Post a Comment