Pages

Tuesday, September 14, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Polis jejak tanah dibeli mangsa

2010/09/14

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang masih mengesan lokasi tanah di Pulau Pinang yang dikatakan dibeli Datuk Sosilawati Lawiya bagi membantu siasatan pembunuhan kejam jutawan kosmetik itu dan tiga rakannya.




Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Asisten Komisioner Roslee Chik, berkata Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor meminta bantuan pasukannya untuk mengesan lokasi tanah yang didakwa dibeli jutawan kosmetik berkenaan dan beberapa anggota sudah diarahkan untuk menjalankan siasatan berhubung kes itu.



Menurutnya, namun sehingga kini, pihaknya tidak mendapat sebarang maklumat mengenai lokasi tanah, pemilik, broker yang terbabit dalam urus niaga atau harga sebenar tanah bagi membantu siasatan.





“Kami juga belum menerima sebarang laporan polis berhubung kes ini dan masih cuba mengenalpasti tanah yang didakwa dibeli dengan anggaran RM25 juta itu,” katanya.





Sosilawati bersama tiga individu lain dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas ke Banting, Selangor, kononnya bagi menguruskan urusan jual beli tanah dan pada 12 September, polis mengesahkan arwah, pemandu dan peguamnya serta pegawai CIMB dibunuh dan dibakar manakala abu mayat mangsa dibuang ke dalam sungai berhampiran kawasan Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Selangor.





Susulan itu, lapan suspek ditahan, iaitu peguam bergelar Datuk yang juga suspek utama, adik serta enam pekerjanya.





Sosilawati dikatakan pernah berurusan dengan suspek berhubung urusan jual beli hartanah sebelum ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KesbunuhSosilawati_Polisjejaktanahdibelimangsa/Article/index_html

0 comments:

Post a Comment