Pages

Wednesday, September 15, 2010

Suara Ghaib Dorong Pembunuhan: Bersalahkah Suspek?

Khamis September 2, 2010


BEBERAPA minggu yang lalu, saya ada menulis mengenai satu kes pembunuhan ngeri yang melibatkan ahli keluarga.



Tertuduh dalam kes itu membunuh dengan kejam datuk dan ibubapa sendiri kerana mendengar 'suara ghaib' yang mengarahnya berbuat demikian.



Dan tidak lama selepas itu, semua akhbar melaporkan kejadian hampir serupa di Kota Bharu. Seorang anak kecil berusia tiga tahun mati disembelihi, dipercayai oleh bapanya sendiri dalam keadaan yang sangat menyayat hati.



Bapanya itu dikatakan mengalami masalah jiwa dan bertindak di luar minda sedarnya.Sebelum itu juga, peristiwa berdarah membabitkan anggota keluarga dilaporkan berlaku di Teluk Intan, Perak.



Dalam kejadian itu, seorang suami yang dipercayai pesakit mental telah menetak isterinya sehingga mati dan mencederakan dua lagi anaknya sehingga parah.



Jika kita perhatikan trend dan corak pembunuhan seumpama ini, kebanyakannya akan berkisar kepada ciri-ciri yang sama. Ia melibatkan anggota keluarga terdekat, didorong 'suara dan arahan ghaib', yang akhirnya mendorong kepada perbuatan 'korban' seperti penyembelihan.



Dalam membincangkan kes-kes sebegini, kita boleh merujuk kepada satu sisi undang-undang yang disebut sebagai’ exception to the general rule' (pengecualian terhadap peraturan umum).



Sebagai contoh, seseorang pembunuh boleh terlepas daripada hukuman jika dia dapat membuktikan kepada mahkamah bahawa tindakannya itu tidak disengajakan atau kerana dipaksa melakukan atau dipengaruhi sebab-sebab tertentu yang dapat diterima mahkamah (Seksyen 76-106 Kanun Keseksaan).



INI ADALAH PENYAKIT MENTAL



Antara penyakit mental yang sering menjadi bahan perdebatan pengamal undang-undang dan pakar perubatan ialah skizofrenia (schizophrenia).



Skizofrenia adalah sejenis gangguan mental yang kronik, misteri dan cukup tragik. Pesakit selalunya tidak berupaya membezakan antara yang nyata atau yang datang dalam imaginasinya. Mereka akan mendengar suara dan sering melihat visual dalam halusinasi yang sebenarnya tidak wujud.



Ada lebih 20 laman web yang memperkatakan mengenai skizofrenia, namun laman http://www.schizophrenia.com/ memberikan manfaat yang maksimum mengenai latar belakang, simptom, kaedah rawatan dan perkembangan terkini mengenai penyakit ini.



PUNCA



Punca penyakit ini masih misteri dan belum diketahui. Saintis dan doktor masih belum dapat menjangka siapa yang akan mengidap skizofrenia, walaupun faktor genetik dikesan sebagai antara puncanya.



Ada tertuduh kes bunuh yang mengatakan dia mendengar suara Tuhan, suara nabi serta lain-lain lagi dan yang anehnya, mereka menjawab suara-suara itu malah kadang-kadang berinteraksi dan mengikut ‘arahan’ suara ghaib.



Kesannya, mereka melihat muka orang yang berubah-ubah atau terpandang sesuatu yang ganjil dan menakutkan sehingga mendorongnya membunuh mangsa. Misalannya, mata kasar kita melihat objek yang tidak lebih dari sebatang tongkat tetapi pesakit jiwa menyifatkannya sebagai seekor ular.



Penderita penyakit mental yang mencecah tahap kronik, boleh menyebabkannya mendengar ‘suara ghaib’ yang mengarahkannya melakukan sesuatu di luar batasan, termasuk membunuh.



Bagaimanapun, peguam perlu berhati-hati jika mahu menggunakan hujah ini kerana mahkamah mesti terlebih dulu berpuas hati dan menerima sepenuhnya penjelasan pakar bahawa tertuduh bukan berpura-pura gila bagi maksud hendak melepaskan diri daripada hukuman.




Penghujahan bahawa tertuduh tidak siuman, mengalami halusinasi, sakit jiwa atau menghidap skizofrenia boleh dibuat mengikut Seksyen 84 kanun Keseksaan dan ia bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia perundangan.



Dalam hubungan ini, izinkan saya mengimbas satu tragedi pembunuhan yang menggemparkan negara tidak lama dulu. Selepas bertahun-tahun perbicaraan diadakan, Mahkamah Tinggi akhirnya membebaskan tertuduh daripada tuduhan membunuh isterinya, selepas mendapati dia tidak waras ketika melakukan perbuatan itu.



Dalam penghakimannya, hakim menyatakan bahawa beliau berpuas hati bahawa tertuduh 'tidak mengetahui' bahawa dia telah melakukan kesalahan di sisi undang-undang. Dengan keputusan itu, tertuduh terlepas daripada hukuman mati di tali gantung.



Bagaimanapun, dia diperintahkan menjalani rawatan di hospital pesakit mental sementara menunggu perintah selanjutnya oleh Yang di-Pertuan Agong.



Demikianlah serba sedikit kupasan mengenai pembunuhan yang bersifat misteri. Semoga memberi manfaat kepada pembaca budiman sekalian. Sampai bertemu lagi !



Khairul Anwar Rahmat ialah Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya serta Peguam Syarie Mahkamah Tinggi Syariah. Segala pertanyaan dan maklumbalas boleh dikemukakan melalui khairul@khairulgroup.com


http://www.mstar.com.my/variasi/suara_alternatif/cerita.asp?file=/2010/9/2/mstar_suara_alternatif/20100902131553&sec=mstar_suara_alternatif

0 comments:

Post a Comment