Pages

Friday, September 24, 2010

"Bini Puaka": UPM halang pelajar hadir dengar keputusan

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 23 Sept: Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi universiti pertama mengeluarkan arahan agar pelajar kampus itu tidak dibawa mendengar keputusan ke atas lima tertuduh kes ‘Bini Puaka’ di mahkamah esok.

Pengerusi Pro-Mahasiswa UPM, Syed Syafiq Syed Hashim berkata pihaknya menerima panggilan daripada Pejabat Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ewal Pelajar (HEP) melarang pihaknya berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya tetap dengan pendirian untuk membawa mahasiswa universiti itu kerana berpendapat pentadbiran UPM tidak ada kuasa menghalang mereka dari mendengar keputusan mahkamah.

“Sebaliknya, kami menyeru mahasiswa supaya beramai-ramai memberi sokongan moral kepada lima tertuduh yang terdiri daripada golongan mahasiswa,” katanya pada satu kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengumumkan akan mengadakan “Himpunan Bebaskan Mahasiswa” di Kompleks Mahkamah Jalan Duta jam 8.30 pagi esok sempena keputusan perbicaraan kes “Bini Puaka” yang melibatkan lima mahasiswa Universiti Malaya.

Lima mahasiswa iaitu Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli yang didakwa dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan kes kelima-lima tertuduh berlangsung sejak ia bermula Julai tahun lalu.

Mereka dituduh menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" yang ditujukan kepada isteri perdana menteri, Rosmah Mansor.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 4 pagi 24 Jun lalu di dewan kuliah utama API, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui Rosmah dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Manakala bagi Seksyen 436, ketiga-tiga dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Sehubungan itu juga SMM menggesa mahasiswa di seluruh kampus supaya mengadakan solat hajat mendoakan kemenangan kes bagi kelima-lima mahasiswa itu.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=28744:qbini-puakaq-upm-halang-pelajar-hadir-dengar-keputusan&catid=1:utama&Itemid=50

First Ladies: Rosmah `tidak sopan’ pada Permaisuri Agong

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 23 Sept: Tindakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menganjurkan sidang kemuncak First Ladies pada 11 hingga 13 Oktober ini disifatkan sebagai 'tidak sopan' dan membelakangkan kedudukan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, Rosmah masih tidak mahu mengambil iktibar daripada teguran yang diterima selepas iklan berwarna dua halaman penuh memaparkan Rosmah disiarkan di New York Times pada April lalu.

Ia adalah iklan ucapan tahniah kepada 'Rosmah Mansor, Wanita Pertama Malaysia' kerana menerima anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.

"Tindakan Rosmah ini satu tindakan yang sangat tidak bersopan. Setelah mendapat kritikan daripada banyak pihak selepas iklan itu, kita ingatkan dia belajar daripada kesilapan dan tahu meletakkan diri dia di mana," kata Athirah ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Athirah yang merupakan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS Pusat berkata, penggunaan istilah 'wanita pertama' itu juga ternyata bertentangan dengan Artikel 32, Perlembagaan Malaysia.

"Dalam artikel itu jelas menyebut bahawa ketua pertama negara ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong jadi secara automatik, wanita pertama mestilah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong," katanya lagi.

Tambahnya, penggunaan 'wanita pertama' setelah Najib memerintah negara menunjukkan ceteknya kesedaran beliau mengenai kepentingan menghormati Perlembagaan Negara.

"Negara kita mengamalkan konsep Raja Berpelembagaan, bukan negara republik yang mempunyai presiden. Memang tidak pernah wujud istilah wanita pertama di negara kita.

"Apabila Najib dan Rosmah muncul, mereka guna istilah ini dalam negara yang berkonsepkan Raja Berpelembagaan, ini menunjukkan kesedaran mereka yang sangat cetek dari sudut sejarah dan berpelembagaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu gerakan perlu diwujudkan bagi memberikan kesedaran kepada rakyat dan juga para pemimpin agar menghormati Perlembagaan Negara.

"Saya sebagai wanita muda Malaysia sangat terpanggil untuk menggerakkan kesedaran massa untuk menolak kebiadapan dan ketidaksopanan Rosmah yang membelakangi Raja Permaisuri Agong.

"Ini satu tindakan yang sangat derhaka dan rakyat mesti sedar dan menolak kepimpinan yang tidak menghormati keluhuran perlembagaan," tegasnya.

Beliau turut mempersoal tindakan Rosmah yang seolah-olah cuba mencampuri peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Dari satu sudut dia mempergunakan Sharizat. Isteri perdana menteri telah mempergunakan Menteri Pembangunan Wanita (Keluarga dan Masyarakat) untuk mengadakan satu program besar di negara kita dan akan menggunakan segala duit daripada hasil negara dan cukai yang dibayar oleh rakyat," katanya.

Rosmah seperti yang dilaporkan berkata, sidang kemuncak itu akan membincangkan perancangan secara bersama dengan wanita-wanita pertama dunia mengenai agenda penting dalam memperkasakan kanak-kanak yang akan menjadi pemimpin masa hadapan.

Ianya Sidang Kemuncak ini akan diadakan selama tiga hari di Hotel Palace Of Golden Horses, di sini, dan bakal dihadiri lebih 20 Wanita Pertama dari seluruh dunia.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=28748:first-ladies-rosmah-tidak-sopan-pada-permaisuri-agong&catid=1:utama&Itemid=50

Thursday, September 23, 2010

Leher tersepit meja lipat

Oleh Mohamad Hairi Azmi Tham

2010/09/23

KUALA KANGSAR: “Ayah, kalau Irfan mati, tolong kebumikan di sebelah kubur pak su (bapa saudara),” begitu permintaan pelik Muhammad Irfan Rusydi, 5, yang maut selepas lehernya tersepit pada kaki meja lipat di belakang rumah neneknya di sini, Isnin lalu.


TRAGEDI...Mohd Fadtah (kanan) menunjukkan meja yang mengapit anaknya hingga membawa maut.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang di Kampung Talang Hilir itu, mangsa bermain bersendirian di belakang rumah sebelum leher tersepit pada meja berkenaan menyebabkannya pengsan akibat sukar bernafas sebelum disahkan meninggal dunia.

Kanak-kanak malang itu meninggal dunia kira-kira jam 1.10 pagi kelmarin selepas dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Bapa mangsa, Mohd Fadtah Sadhabil, 27, berkata, ketika kejadian, dia belum pulang bekerja, tetapi ahli keluarga lain ada terdengar jeritan anaknya, namun menganggapnya gurauan kerana arwah sering berbuat demikian ketika bermain berseorangan.

Menurutnya, kejadian itu disedari adik lelakinya yang keluar memeriksa keadaan arwah sebelum mendapati leher anaknya tersepit pada kaki meja hingga badannya kebiruan.

“Tiada siapa menyangka jeritannya itu sebenarnya menandakan dia meminta tolong,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.


Katanya, sejak beberapa minggu lalu, anaknya yang belajar di Tadika Kemas, menunjukkan perubahan sikap secara mendadak.

“Dua minggu lalu, arwah meminta saya mengebumikan jenazahnya di sebelah kubur bapa saudaranya yang meninggal dunia beberapa tahun lalu. Saya terkejut dengan permintaan peliknya itu dan mengesyaki sesuatu tidak baik bakal berlaku.



“Selepas kejadian itu, baru saya menyedari segala perlakuan peliknya itu satu petanda, malah pada sambutan Aidilfitri baru-baru ini, arwah enggan dibeli baju baru, sebaliknya hanya meminta sepasang kasut baru,” katanya.

Ibu mangsa, Salmah Sapiay, 25, yang masih bersedih dengan pemergian anak kedua daripada tiga beradik itu, reda dengan pemergian anak kesayangannya.

Katanya, dua lagi anaknya berusia tujuh dan tiga tahun seolah-olah memahami pemergian arwah apabila mereka lebih banyak membisu sejak kejadian itu.

Jenazah mangsa dikebumikan seperti permintaannya iaitu berhampiran pusara bapa saudaranya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Talang Hilir, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lehertersepitmejalipat/Article

'Saya tetap sayang dia'



Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

2010/09/23

SHAH ALAM: Pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah membunuh Syafiah Humaira Sahari, 4, Februari lalu, namun ibu kanak-kanak itu, Siti Nurhanim Aziz, 25, berkata dia tetap sayangkan Mohd Fazli Azri, yang juga teman lelakinya.


BERSALAH...Mohd Fazli dihukum gantung sampai mati.

“Saya tak pernah marahkan dia (Mohd Fazli) sebab dia terlampau sayangkan anak saya, maka saya amat menyayanginya,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah. Malah, sebelum Mohd Fazli digari semula untuk dibawa ke penjara, dia dilihat sempat mencium pipi Siti Nurhanim.

Sebelum itu, hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu terhadap Mohd Fazli yang menyambut hari ulang tahun kelahirannya ke-28 semalam selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

Mendengar keputusan itu, ibu Mohd Fazli, Nur Haziah Yusof, 52, yang tidak dapat menahan emosi terus meraung dan berulang kali berkata: “Abang tak salah, biar mama yang mati” sebelum wanita itu pengsan dua kali di galeri awam.

Nenek Mohd Fazli yang dikenali sebagai Siti pula kelihatan tenang dengan keputusan itu berkata, keluarganya akan mengemukakan rayuan.

“Berpantang maut sebelum ajal,” katanya.


Mohd Fazli dituduh membunuh Syafiah Humaira di padang bola sepak Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, dekat Batang Kali, jam 6.30 petang, 25 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Selain Idham Abd Ghani, pendakwaan diwakili dua lagi Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Mohd Rashid dan Zureen Elina Mohd Dom manakala tertuduh diwakili peguam bela, Gurbachan Singh.

Terdahulu, Mohtarudin dalam alasan penghakimannya berkata mahkamah tidak dapat menerima keterangan tertuduh ketika membela diri bahawa kecederaan kanak-kanak itu disebabkan jatuh motosikal dan terhantuk di dinding tandas.

Katanya, ia sama sekali bercanggah dengan keterangan dua ahli perubatan yang merawat dan melakukan bedah siasat terhadap kanak-kanak itu.

Selain itu, katanya, kisah jatuh motosikal itu sama seperti cerita tertuduh bahawa mangsa muntah selepas makan ubat yang dibeli di kedai jamu tidak pernah diberitahu kepada sesiapa.

Menyentuh mengenai keterangan tertuduh ‘lalok’ di padang bola, Mohtarudin berkata ia bercanggah dengan keterangan saksi yang menunjukkan Mohd Fazli adalah waras pada masa kejadian.

Katanya, ini dikuatkan lagi apabila melihat fakta bahawa tertuduh boleh memandu teksinya untuk ke padang berkenaan.

“Keterangan ibu mangsa bahawa tertuduh berada dalam keadaan mabuk sepatutnya disoal balas pada peringkat pendakwaan,” katanya.

Menurutnya, undang-undang dengan jelas menyatakan bahawa mabuk akibat perbuatan sendiri tidak boleh diterima dalam pembelaan kes jenayah.

Mohtarudin berkata, mahkamah juga menolak hujah pembelaan bahawa tertuduh tidak berniat mencederakan mangsa berdasarkan apa yang sudah dilakukannya terhadap kanak-kanak malang itu.

“Perbuatan menutup pintu teksi sehingga terkena kepala mangsa, memijak perut dengan but bola dan menyepak kanak-kanak itu tidak dapat diterima sebagai tidak berniat,” katanya.

Sepanjang perbicaraan bermula sejak 7 Jun lalu, pihak pendakwaan memanggil 33 saksi, manakala tiga saksi pembelaan tampil memberikan keterangan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayatetapsayangdia_/Article

Pemandu Teksi Bunuh Syafiah Humaira Dihukum Mati

Oleh SALWA SHA'ARI


Mohd Fazli Azri (tengah) dibawa ke lokap mahkamah selepas tamat prosiding. Foto: THE STAR/IBRAHIM MOHTAR

SHAH ALAM: Pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil menerima 'hadiah ulang tahun kelahiran' paling memilukan apabila dia dihukum gantung sampai mati kerana didapati bersalah membunuh kanak-kanak, Syafiah Humaira Sahari pada Februari lalu.

Ironinya, hukuman yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mokhtarudin Baki pada Rabu, serentak dengan ulang tahun kelahiran ke-28 Mohd Fazli Azri yang merupakan teman lelaki ibu Syafiah Humaira, Siti Nurhanim Aziz, 25, seorang bekas pelayan kelab malam.

Pada penghakimannya, Mokhtarudin merumuskan bahawa pembelaan tertuduh tanpa bersumpah dari kandang pesalah yang diuji bersama keterangan saksi pendakwaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Secara keseluruhan beliau mendengar keterangan 33 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan.

Mokhtarudin menolak dakwaan tertuduh bahawa kecederaan Syafiah Humaira, 3 tahun 4 bulan, adalah disebabkan terjatuh dalam keadaan tidak memakai topi keledar daripada motosikal kerana tersentak bonggol selepas keterangan dua doktor termasuk Pakar Perunding Kanan Forensik, Dr Shahidan Mohd Noor mengatakan kecederaan itu tidak selari dengan dakwaan tersebut.

Bagi dakwaan kepala Syafiah Humaira yang manja dengan panggilan ‘Pia’ cedera kerana terhantuk dinding tandas pula, Mokhtarudin berkata, perkara itu tidak pernah diberitahu oleh tertuduh kepada mereka yang mengenali dirinya.

Beliau turut menolak dakwaan tertuduh bahawa dia tidak mengingati kejadian di padang bola kerana khayal dan lalok akibat ganja dan dua botol minuman keras Guiness Stout. Berdasarkan keterangan empat saksi remaja, mereka melihat tertuduh telah menendang dan memijak perut Syafiah Humaira dengan menggunakan kasut bola.

“Saksi-saksi tidak disoal balas sekiranya kelakuan tertuduh adalah konsisten dengan pelakuan orang mabuk. Saksi jelas melihat tertuduh adalah waras. Fakta bahawa tertuduh memandu teksi dari rumah ke padang bola dan pulang semula ke rumah jelas tidak konsisten dengan orang mabuk,” ujar Mokhtarudin.

Mengenai hujahan peguam Gurbachan Singh supaya tuduhan membunuh diturunkan kepada tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat, Mokhtarudin bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa nas-nas undang-undang yang dikemukakan oleh peguam itu berbeza faktanya dengan kes tertuduh.

“Kes yang dirujuk peguam melibatkan orang dewasa yang mempunyai ketahanan fizikal berbeza daripada seorang kanak-kanak seperti dalam kes ini. Kes yang dirujuk juga mempunyai unsur pergaduhan yang mana, dalam kes ini tiada unsur provokasi.

“Perbuatan tertuduh menghempas pintu teksi sehingga terkena kepala, menendang dan memijak perut Syafiah Humaira dengan menggunakan kasut bola tidak boleh diterima dalam menunjukkan tertuduh tidak mempunyai niat untuk membunuh,” tambah Mokhtarudin.

Justeru itu, beliau memutuskan tertuduh bersalah seperti pertuduhan iaitu membunuh Syafiah Humaira pada pukul 6.30 petang, 25 Februari lalu di padang bola, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani, Hanim Mohd Rashid dan Zureen Elina Mohd Dom mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mokhtarudin juga mengucapkan terima kasih kepada pihak pendakwaan dan peguam atas kerjasama yang diberikan sehingga kes dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira tujuh bulan.


Siti Nurhanim hadir di Mahkamah Tinggi pada Rabu. Foto: THE STAR/IBRAHIM MOHTAR

Syafiah Humaira adalah anak kedua Siti Nurhanim, hasil perkahwinannya dengan seorang anggota polis, Sahari Usul yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh bagi kesalahan membunuh. Anak sulung mereka bernama Shafiq Haikal.

Siti Nurhanim juga mempunyai seorang lagi anak, Shakimie Iqbal bersama tertuduh.

Walaupun baru dijatuhkan hukuman paling berat itu, Mohd Fazli Azri masih mampu tersenyum, berbeza dengan ibunya, Norhaziah Yusof, 52, yang terus meraung.

“Dia (Mohd Fazli Azri) tak salah. Biar mama yang mati,” raung Norhaziah sebelum rebah dan pengsan.

Norhaziah kembali sedar selepas nenek tertuduh yang dikenali sebagai Siti, 82, mengusap mukanya dengan air.

Siti juga didengari berkata: “Sabar. Dia tak gantung hari ini. Masih ada rayuan. (Mahkamah) Rayuan ada tiga hakim. Kita usaha lagi. Pantang ajal sebelum maut."

Tertuduh dalam keadaan bergari juga meminta Norhaziah untuk mengawal emosi. Semasa ini, suasana mahkamah dipenuhi dengan tangisan keluarga tertuduh.

Norhaziah yang pengsan buat kali kedua kemudiannya memaklumkan hasrat mahu menyuapkan pulut kuning yang dibawanya kepada Mohd Fazli Azri sebaik sahaja sedar.

Dia dipapah oleh seorang anaknya dan Siti Nurhanim untuk berjumpa Mohd Fazli Azri yang telah dibawa ke lokap mahkamah.

Sebelum meninggalkan mahkamah, tertuduh sempat mencium dahi Siti Nurhanim dan mengucapkan terima kasih kasih kepada media dalam nada yang sinis.

Sementara itu, Siti Nurhanim ketika ditemui berkata, dia tidak pernah marah kepada tertuduh yang disifatkan sebagai seorang yang sangat penyayang.

“Saya tidak pernah marah kerana dia tidak berniat untuk bunuh Syafiah Humaira.”

Ditanya sekiranya dia masih sayang kepada tertuduh, Siti Nurhanim berkata: “Sebab dia terlampau sayang pada anak saya, maka saya sayang padanya.”

Gurbachan pula memberitahu, pihaknya telah mendapat arahan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.



http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/9/23/mstar_mahkamah/20100922145741&sec=mstar_mahkamah

Permohonan Dua Lelaki Ingin Murtad Disebut Semula 19 Disember

Khamis September 23, 2010


KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 19 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula permohonan dua lelaki untuk keluar daripada agama Islam, Rabu.

Hakim Syarie Rosdi Harun menetapkan sebutan semula permohonan Mohd Rajiman Chin Abdullah, 48, dan Mohd Ramzan Maniarasan, 38, akan dibuat secara bersama pada tarikh tersebut.

Beliau menetapkan tarikh itu selepas Peguam Syarie, Syed Ahmad Shabuddin Syed Nong yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebagai responden kes itu memaklumkan mahkamah Pegawai Penasihat Undang-undang Syariah yang mewakili Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAIT) sedang cuti bersalin.

Beliau meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula yang baru untuk kedua-dua permohonan itu iaitu selepas pegawai wanita itu kembali bertugas pada Disember ini.

Rosdi berkata beliau berharap tempoh yang panjang sehingga tarikh sebutan semula itu digunakan sebaik-baiknya oleh kedua-dua pihak untuk membuat persediaan memandangkan kes itu serius dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan akidah.

Katanya beliau mahu memberi peluang kepada dua agensi yang menjaga kepentingan orang Islam di Terengganu itu bersedia dengan dokumen lengkap untuk berhadapan dengan tuntutan itu.

"Untuk pemohon pula, kalau betul-betul mahu teruskan hasrat ini boleh lantik peguam. Memohon untuk keluar Islam bukan satu perkara yang ringan. Kalau orang Islam yang murtad, boleh dibunuh, itu hukum Islam," katanya.

Ketika mengulas permohonan Mohd Rajiman supaya kes beliau diselesaikan dengan segera, Rosdi berkata mahkamah mempunyai prosedur khusus yang perlu dipatuhi.

Mohd Ramzan pula berkata beliau terpaksa membawa permohonannya itu sendiri ke mahkamah kerana tidak ada peguam syarie yang mahu mewakilinya, ketika ditanya sama ada akan melantik peguam untuk mewakilinya. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/9/23/mstar_mahkamah/20100922164224&sec=mstar_mahkamah