Pages

Thursday, September 16, 2010

Patah balik ambil ketupat

Oleh Mohamad Hussin dan Md Fuzi Lateh

2010/09/16





KENANGAN...Raziyah (kiri) menunjukkan baju anaknya, Mohd Hanizam.



BERTUNGKUS-LUMUS...anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap.


ALOR SETAR: “Kami sekeluarga terkejut dan marah melihat arwah dan keluarganya berpatah balik ke rumah semata-mata mahu mengambil ketupat palas yang tertinggal. Ketika itu, mereka sudah sampai di Kulim kira-kira 150 kilometer dari sini.

“Orang tua-tua pesan jika sudah keluar rumah, tidak baik berpatah balik bimbang sesuatu buruk berlaku,” kata Suhaimi Abu Bakar, 27, abang Sunita, 25, yang maut bersama suami, anak serta rakannya dalam kemalangan di Kilometer (KM) 394 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat Hulu Bernam, pada jam 8.05 pagi semalam.

Kereta Proton Persona dipandu suami mangsa, Azri Ismail, 27, terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebuah lori yang berhenti di tepi jalan sebelum terbakar dan menyebabkan semua mangsa rentung.

Suhaimi berkata, arwah adiknya keluar rumah di Kampung Permatang Bonggor, Air Hitam, kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, untuk pulang ke Kota Damansara, Selangor.

Turut berada dalam kenderaan, anak pasangan itu, Muhammad Amar Haikal Azri, 13 bulan dan pekerja suaminya, Mohd Hanizam Abdul Mutalib, 20.

“Kami tidak sangka mereka boleh berpatah balik walaupun sudah menempuh perjalanan yang jauh di Kulim kira-kira 150 kilometer.


“Saya dan keluarga terkejut dan marah kerana melihat mereka berpatah balik semata-mata mahu mengambil ketupat palas yang tertinggal di rumah kami.

“Arwah sempat bersembang dengan ahli keluarga lain kerana dia terlalu berat untuk meninggalkan kami memandangkan ketika itu ramai saudara-mara berkumpul di rumah kami.

“Mereka mula bertolak pulang kira-kira jam 10.30 malam kelmarin selepas puas melepaskan rindu bersama ahli keluarga lain,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Bonggor di sini, semalam.

Sementara itu, Suhaimi berkata, Sunita anak ketujuh daripada lapan beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebaliknya sentiasa ceria bersama ahli keluarga dan saudara-mara.

“Arwah pulang ke sini pada Rabu lalu, dua hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri. Dia kelihatan sungguh gembira dapat berjumpa ibu, Natrah Omar, 60, serta adik-beradik lain.

“Arwah dan suaminya sudah beberapa bulan membuka pusat kecantikan dan spa di Kuala Lumpur. Kami tidak sangka arwah berpatah balik ke rumah petanda mereka akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Ketika ditemui semalam, Suhaimi berkata, ibunya belum mengetahui kejadian itu kerana dia keluar rumah manakala ahli keluarga lain sedih selepas mendapat tahu mengenainya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Patahbalikambilketupat/Article

________________________________________________________

ALFATIHAH -

0 comments:

Post a Comment