Pages

Thursday, September 16, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Sampel rambut ibu jutawan diambil

2010/09/16

BATU PAHAT: Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bersama seorang doktor mengunjungi rumah adik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, di Kampung Sri Menanti, Sri Medan di sini, petang semalam, bagi mendapatkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) ibunya sekali gus membantu siasatan.
Kunjungan kira-kira sejam itu, dilakukan untuk mengumpul contoh DNA fizikal Yatmah Abdul Rahman, 80, seperti rambut sebelum pasukan berkenaan pulang ke ibu kota bagi meneruskan siasatan.

Difahamkan, contoh DNA Yatmah diperlukan untuk dibandingkan dengan tulang ditemui polis di Banting, Selangor.

Adik Sosilawati, Rosnani Lawiya, 45, berkata rombongan berkenaan tiba di rumahnya kira-kira jam 4 petang semalam sebelum bertemu ibu, Yatmah, bagi mendapatkan contoh DNA.

“Mereka berada di rumah saya selama kira-kira sejam bagi mengambil beberapa sampel DNA milik ibu termasuk rambut dan kami memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan polis.
“Kami tidak berkesempatan bertanya lebih lanjut mengapa DNA ibu perlu diambil kerana tidak mahu mengganggu tugas mereka. Selain itu, kami agak sibuk melayan tetamu yang bertali arus mengunjungi keluarga kami.
 
 
“Bagaimanapun, kami berharap sampel DNA kali ini mampu menghasilkan keputusan muktamad terhadap kes ini kerana kami tidak mahu terus dirundung kesedihan memikirkan pemergian Kak Wati,” katanya ketika dihubungi.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sampelrambutibujutawandiambil/Article


______________________________________________________


Kes bunuh Sosilawati: Sepakat jaga anak saudara

2010/09/16

BATU PAHAT: Meskipun Datuk Sosilwati Lawiya telah kembali ke Rahmatullah, nasib anaknya bakal terbela berikutan adik-beradik jutawan kosmetik itu sepakat bergilir-gilir ke ibu kota bagi menjaga kebajikan dan memberi sokongan moral dan semangat kepada mereka.

Adik ipar Sosilawati, Misjan Jamikun, 48, berkata, perkara berkenaan diputuskan hasil muafakat adik-beradik mereka bersama anak ahli perniagaan berkenaan baru-baru ini bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Di saat sukar seperti ini, sudah tentulah sokongan dan semangat berterusan daripada ahli keluarga diperlukan bagi mereka menghadapi tragedi yang menimpa.


“Walaupun, mereka nampak tenang pada zahirnya, kita tidak tahu apa yang terpaksa batin mereka tanggung terutama apabila kes ini terungkai satu demi satu di dada akhbar dan media elektronik.


“Saya dan adik-beradik Kak Wati yang lain sendiri tidak sanggup lagi menatap mahupun mendengar laporan berita mengenai kes ini yang didedahkan, bayangkan apa yang terpaksa dilalui anak Kak Wati ketika ini.


“Hancur luluh hati ini melihatkan mereka terpaksa menanggung keperitan ini dalam usia yang masih muda,” katanya sebak.


Misjan berkata, adik-beradik Sosilawati juga berjanji memberi perlindungan sewajarnya kepada mereka selagi anak ahli perniagaan itu mahukan serta perlukan.


“Jasa Kak Wati kepada kami semua amat besar dan ini antara yang termampu kami lakukan bagi membalas budinya dan sebagai tanda kasih sayang kami yang tulus ikhlas.


“Selagi anak Kak Wati memerlukan kehadiran kami, selagi itu kami rela berkorban apatah lagi sehingga kini hasil ujian ujian asid deoksiribonukleik (DNA) belum diperoleh,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sepakatjagaanaksaudara/Article

0 comments:

Post a Comment