Pages

Tuesday, September 14, 2010

Isteri rasa tidak sedap hati

TAMPIN - "Segalanya berlaku begitu pantas. Saya hanya dapat mengingat bunyi dentuman kuat sebelum kereta dipandu suami saya berpusing beberapa kali di atas lebuh raya.”

Isteri mangsa, Rashidah Abdul Samad, 37, ketika menceritakan semula detik-detik cemas itu berkata, sebelum kejadian, suaminya, Rubaie Abdul Rahman, 41, memandu di lorong paling kanan lebuh raya sebelum merempuh sebuah lori kecil.

Menurutnya, pandangan tiba-tiba bertukar gelap dan dia tidak sedar anak sulungnya, Nuraziera, 15, tercampak keluar dari kereta.

"Saya cuma ingat arwah (Rubaie) tiba-tiba mengeluarkan perkataan `eh apa tu’. Tetapi dia tidak sempat mengelak.

"Selepas kemalangan, kepala arwah suami tersandar di bahu saya manakala anak kedua kami, Fatin Adila, 9, tersepit dalam kereta,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Tampin dekat sini, semalam.

Kata Rashidah, walaupun lemah, dia masih sempat menarik anak bongsunya, Farah Elisa Najwa, 5, keluar dari kereta sebelum meminta bantuan dari kenderaan lain yang lalu di lokasi kejadian.

Dia berkata, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Ijok di Batang Berjuntai, Selangor untuk menghadiri kenduri arwah bapa mertuanya selepas 100 hari meninggal dunia di kampung Rubaie dekat Bukit Gambir, Muar, Johor.

"Pada mulanya, saya rasa tidak sedap hati kerana risau tentang kemalangan maut kerap berlaku pada musim perayaan.

"Namun, saya tidak sampai hati untuk meluahkannya sebelum kami bertolak dari rumah kira-kira jam 5.15 pagi,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Hairulzaman Abdul Rahman, 42, berkata, kehilangan Rubaie memberi kesan emosi mendalam terhadap keluarganya.

"Lebih memilukan, ayah kami juga maut akibat kemalangan jalan raya 100 hari lalu. Kami tidak sangka kenduri arwah malam ini (malam tadi) adalah untuk Rubaie juga,” jelasnya.

Kemalangan di Kilometer 237.3 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) berhampiran susur keluar Pedas-Linggi, dekat Rembau, kira-kira jam 6.45 pagi semalam membabitkan kereta jenis Proton Waja dipandu Rubaie dan sebuah lori kecil.

Rubaie yang juga seorang anggota polis berpangkat Koperal bertugas di Ijok dan Nuraziera meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada badan dan kepala.

Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke kampung Rubaie sebelum dikebumikan berhampiran pusara ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kundi dekat Bukit Gambir.


http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8174241.asp

0 comments:

Post a Comment