Pages

Thursday, September 16, 2010

Dimamah pengisar

Oleh Ravale Savarinathan

2010/09/15

TELUK INTAN: Niat suci seorang pelajar mahu membantu meringankan beban keluarga dengan bekerja sambilan berakhir tragedi apabila tangan kanannya terpaksa dipotong selepas tersepit dalam mesin pengisar di sebuah kilang membuat kemenyan di Tapah Road, dekat sini, Isnin lalu.
Kejadian yang menimpa A Shalini, 16, kira-kira jam 1 tengah hari itu menyedihkan ahli keluarga mangsa terutama nenek yang melarangnya ke kilang berkenaan bagi menggantikan tempatnya kerana dia mahu bercuti pada hari kejadian.

R Rajangam, 57, berkata sehari sebelum kejadian, dia memberitahu cucunya itu yang juga pelajar Sekolah Menengah Datuk Panglima Perang Kiri, Tapah Road, dia mahu bercuti pada keesokan hari.

“Shalini yang kini cuti sekolah beritahu dia mahu gantikan tempat saya pada hari kejadian kerana ingin mencari duit bagi membantu keluarga. “Saya melarang dia berbuat demikian, tapi dia tidak mengendahkannya dan ke kilang berkenaan tanpa pengetahuan saya.

“Saya hanya mengetahui kejadian selepas dimaklumkan rakan sekerja. Saya dan beberapa ahli keluarga bergegas ke kilang dan mendapati Shalini menjerit kesakitan,” katanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan (HTI), kelmarin.

Menurutnya, sebaik menyedari tangan Shalini tersepit dalam mesin selepas terdengar jeritannya, beberapa pekerja mematikan suis utama kilang berkenaan.

“Beberapa pekerja cuba mengeluarkan tangan mangsa, namun gagal dan terpaksa meminta bantuan pasukan bomba dan penyelamat. “Anggota bomba yang tiba tidak lama kemudian juga gagal menarik keluar tangan mangsa kerana hampir hancur sebelum majikan menghubungi ambulans.

“Mangsa bersama mesin berkenaan dibawa ke Hospital Tapah (HT) untuk mengeluarkan tangannya, namun tidak berjaya sebelum dirujuk ke HTI yang kemudian memutuskan tangan mangsa terpaksa dipotong dari paras lengan,” katanya.

Kejadian menimpa Shalini mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang menghulurkan bantuan RM3,000 kepada mangsa yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang, Datuk Mah Hang Soon.

Mah berkata, pihaknya hairan kenapa mangsa yang masih bersekolah dibenarkan bekerja di kilang berkenaan.

“Kami akan menyiasat bagaimana majikan kilang itu boleh membenarkan seorang gadis bawah umur bekerja di kilangnya dan kes akan disiasat menyeluruh sebelum tindakan diambil,” katanya ketika melawat mangsa di HTI, kelmarin.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dimamahpengisar/Article

_______________________________________________________

0 comments:

Post a Comment