Oleh Mohamad Hairi Azmi Tham
2010/09/23
KUALA KANGSAR: “Ayah, kalau Irfan mati, tolong kebumikan di sebelah kubur pak su (bapa saudara),” begitu permintaan pelik Muhammad Irfan Rusydi, 5, yang maut selepas lehernya tersepit pada kaki meja lipat di belakang rumah neneknya di sini, Isnin lalu.
TRAGEDI...Mohd Fadtah (kanan) menunjukkan meja yang mengapit anaknya hingga membawa maut.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang di Kampung Talang Hilir itu, mangsa bermain bersendirian di belakang rumah sebelum leher tersepit pada meja berkenaan menyebabkannya pengsan akibat sukar bernafas sebelum disahkan meninggal dunia.
Kanak-kanak malang itu meninggal dunia kira-kira jam 1.10 pagi kelmarin selepas dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Bapa mangsa, Mohd Fadtah Sadhabil, 27, berkata, ketika kejadian, dia belum pulang bekerja, tetapi ahli keluarga lain ada terdengar jeritan anaknya, namun menganggapnya gurauan kerana arwah sering berbuat demikian ketika bermain berseorangan.
Menurutnya, kejadian itu disedari adik lelakinya yang keluar memeriksa keadaan arwah sebelum mendapati leher anaknya tersepit pada kaki meja hingga badannya kebiruan.
“Tiada siapa menyangka jeritannya itu sebenarnya menandakan dia meminta tolong,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.
Katanya, sejak beberapa minggu lalu, anaknya yang belajar di Tadika Kemas, menunjukkan perubahan sikap secara mendadak.
“Dua minggu lalu, arwah meminta saya mengebumikan jenazahnya di sebelah kubur bapa saudaranya yang meninggal dunia beberapa tahun lalu. Saya terkejut dengan permintaan peliknya itu dan mengesyaki sesuatu tidak baik bakal berlaku.
“Selepas kejadian itu, baru saya menyedari segala perlakuan peliknya itu satu petanda, malah pada sambutan Aidilfitri baru-baru ini, arwah enggan dibeli baju baru, sebaliknya hanya meminta sepasang kasut baru,” katanya.
Ibu mangsa, Salmah Sapiay, 25, yang masih bersedih dengan pemergian anak kedua daripada tiga beradik itu, reda dengan pemergian anak kesayangannya.
Katanya, dua lagi anaknya berusia tujuh dan tiga tahun seolah-olah memahami pemergian arwah apabila mereka lebih banyak membisu sejak kejadian itu.
Jenazah mangsa dikebumikan seperti permintaannya iaitu berhampiran pusara bapa saudaranya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Talang Hilir, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi kelmarin.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lehertersepitmejalipat/Article
Thursday, September 23, 2010
Leher tersepit meja lipat
Posted by
semalamjadikenangan
at
8:23 PM
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment