Pages

Sunday, September 12, 2010

4 maut letupan gas di California

PENDUDUK bertempiaran menyelamatkan diri daripada kawasan kebakaran akibat letupan gas di San Bruno, California, kelmarin sebelum kebakaran dikawal sepenuhnya awal semalam.. - AP


SAN BRUNO, California 11 Sept. - Pasukan bomba California semalam menyuarakan harapan bahawa angka kematian akibat kebakaran besar di bandar raya ini tidak akan meningkat daripada empat orang, ketika tumpuan kini diberikan kepada punca letupan itu.




Pekerja kecemasan berkata, mereka telah mencari di 75 peratus kawasan yang musnah terbakar akibat letupan kuat daripada paip gas lewat kelmarin, yang mencederakan 52 orang, termasuk tiga dalam keadaan kritikal itu.



"Terdapat lubang di bawah tanah dan beberapa tempat masih terbakar, kami akan melakukan kerja secepat mungkin," kata ketua polis, Neil Telford.



Leftenan Gabenor, Abel Maldonado yang mewakili Gabenor Arnold Schwarzenegger yang sedang melawat Asia, lebih berhati-hati dengan menyatakan suku daripada kawasan bencana masih belum diperiksa.



Pemeriksaan dari jalan ke jalan menunjukkan 38 bangunan telah musnah dan tujuh lagi mengalami kerosakan teruk akibat letupan dan kebakaran itu.



Menurut firma utiliti Elektrik dan Gas Pasifik (PG&E), satu letupan gas asli besar telah berlaku, tetapi mereka tidak dapat menghampiri kawasan utama kebakaran untuk menentukan puncanya.



"Saya tidak pernah melihat sesuatu seperti ini," kata Maldonado, yang mengumumkan keadaan darurat untuk bandar yang terletak tiga kilometer ke barat Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco itu.



Letupan besar dan kebakaran melanda kawasan di San Bruno berhampiran San Francisco petang kelmarin, menyebabkan penduduk terkejut dengan kemusnahan mengejut itu.



Kelihatan api besar tercetus dari tanah seperti penunu bagas, di mana berlaku pecahan paip dan kebakaran kemudiannya merebak ke kediaman berhampiran. - AFP


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

0 comments:

Post a Comment